Jumaat, 7 Oktober 2011

Pembohongan Ibu

Bohong..............Memang kadangkala daripada pembohongan itu 
lah kita akan kembali mengingatkan mereka. Kadangkala juga pembohongan ini menyebabkan tergurisnya hati dan perasaan kita. Pombohongan boleh aku katakan sebagai satu fitrah kehidupan masyarakat kita. Tetapi aku kadangkala mengalirkan air mata dengan pembohongan ibu sendiri.

Cerita ini bermula ketika aku masih kecil. Aku lahir sebagai
seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga yang miskin.
Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan.
Ada kalanya selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan seekor ikan masin dikongsi 1 keluarga.
Sebagai anak yang masih kecil, aku sering saja merungut. Aku menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk.
Ketika makan, ibu sering memberikan bahagian nasinya untuk aku.
Sambil memindahkan nasi ke mangkuk aku,ibu berkata: "Makanlah nak, ibu tak lapar.".

Ketika aku mulai besar, ibu yang gigih sering meluangkan waktu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah.
Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk pembesaran kami adik-beradik.
Pulang memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera.
Sewaktu saya memakan gulai ikan itu, ibu duduk di samping kami dan memakan sisa daging ikan yang menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang aku makan tadi.
Aku sedih melihat ibu seperti itu.
Hati aku tersentuh, lalu dengan menggunakan sudu, aku memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata: "Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan."

Di usia awal remaja, aku masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan aku, abang dan kakak.
Suatu dinihari, lebih kurang 1.30 pagi, aku terjaga dari tidur.
aku melihat ibu sedang membuat kuih bertemankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali aku lihat kepala ibu terhangguk kerana terlalu mengantuk.
Saya berkata: "Ibu , tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula." Ibu tersenyum dan berkata: "Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi."

Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani aku pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting.
Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan.
ibu sering kali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Ilahi agar aku lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang.
Ketika lonceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut aku dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya.
Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental.
Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu untuk ibu dan menyuruhnya minum.
Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata: "Minumlah nak, ibu tak haus."

Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas adik aku baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga.
Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan berjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan.
Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah.
Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang membantu ibu.
Anehnya, ibu menolak bantuan itu.
Jiran-jiran sering menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga ibu dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga.
Tetapi ibu yang memang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka.
Ibu berkata: "Saya tidak perlukan cinta, saya tidak perlukan lelaki."

Setelah kakak dan abang habis belajar dan mulai bekerja, ibu sudah pun tua.
Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat saja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit, tetapi ibu tidak mahu.
Ibu rela pergi pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya.
Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu , pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut.
Malahan ibu mengirim balik wang itu, dan ibu berkata: "Jangan susah-susah, ibu ada duit."

Setelah tamat pengajian di universiti, aku melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di luar negara.
Pengajian aku di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar.
Sarjana itu aku sudahi dengan cemerlang, kemudian aku pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian aku, juga di luar negara.
Dengan gaji yang agak lumayan, aku berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara.
Pada pandangan aku , ibu sudah puas bersusah payah untuk kami.
Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula.
Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan aku.
Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata: "Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di negara orang."

Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua. Suatu malam aku menerima berita ibu diserang penyakit kanser.
Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Aku menjenguk ibunda tercinta.
Aku melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan.
ibu yang kelihatan sangat tua, menatap wajah aku dengan penuh kerinduan.
Ibu menghadiahkan aku sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.
Aku dapat melihat dengan jelas betapa penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus.
Aku menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata.
Aku cium tangan ibu, kemudian aku kucup pula pipi dan dahinya.
Di saat itu hati aku terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini.
Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata-kata: "Jangan menangis nak, ibu tak sakit."
Setelah mengucapkan pembohongan terakhir itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir.
Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya.
Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata: IBU, SAYA SAYANGKAN IBU!
Tapi tidak aku. Sehingga kini aku diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun aku membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Ibu, maafkan aku. AKU SAYANGKAN IBU...!!!





Tiada ulasan:

Catat Ulasan